Tuesday, April 10, 2007

Waktu rehat

Dulu di sekolah rendah, aku agak taiko. Garang ya amat, aku syak budak lelaki memang ramai yang tak suka kat aku. Budak pompuan, erm aku tak tau. Tapi ni nak cerita pasal lain.

Tiap kali rehat, aku jimat belanja wang saku. Wang dari mama selalu tak tetap, kadang-kadang seringgit (ni time darjah 1, bila dah naik tahap 2, ada peningkatan), kadang-kadang lebih kalau abah ada. Tapi aku selalu ada duit lebihlah. Dalam dompet kecil tu (alah yang dapat free kalau beri barang kemas tu), selalunya banyak duit syiling 20 sen dan 50 sen.

Lepas makan rehat, kami akan ramai-ramai panjat tangga ke tingkat 3. Kena cepat-cepat nanti orang ramai. Sebab aku agak taiko (dari budak sebaya), selalunya aku di depan lah. Bagi salam pada cikgu yang namanya sama dengan ayah aku, tapi dia dah tua, berkopiah putih, janggut sejemput, dan bertubuh kecil. Dia duduk menghala keluar kelas, ada meja, dan ada buku log besar di atas meja dengan pen merah dan biru.

Budak-budak bagi salam, ambik pen, hulur duit, dan tulis nama dan tarikh, jumlah, lepas tu sign. Kadang-kadang dia bagi juga tengok buku kecil ada gambar buah-buahan kat depan. Ada budak bagi 20 sen, 10 sen, 50 sen. Kalau ada duit banyak, bagilah seringgit atau lima ringgit. Kalau abah baru balik dari Indon, selalunya abah akan bagi 10 ringgit suruh bagi kat cikgu tu.

Buku gambar buah-buahan tu ada banyak kat dalam beg tepi cikgu tu, ada sticker ikut nombor siri untuk setiap orang. Kalau ada yang nak tengok, dia ambik satu karung, cari ikut nombor siri, keluar satu, yang lain dia ikat balik dengan getah gelang. Tapi kadang-kadang sangatlah dia bagi tengok, sebab ramai yang menunggu, waktu rehat 40 minit saja.

Nama cikgu tu Cikgu Marzuki. Kami semua beratur nak masuk duit dalam Bank Pertanian. Semua dah mendaftar sebelum tu, dan ada buku akaun masing-masing. Cikgu Marzuki yang pegang. Dia kumpul duit budak-budak, dan lepas dah banyak dia masukkan dalam akaun.

Tiap kali aku bukak laci abah dan nampak buku akaun tu, aku teringat masa rehat di sekolah.

Monday, April 09, 2007

Sakit

Sekarang ni perasaan malas makin menjadi-jadi. Cuti lima minggu, 2 assignments pon tak boleh siap. Dok sibuk buat apa pun tak tau lah. Bangun, mandi, siap-siap, bukak komputer check sini check sana, tiba-tiba dah petang.

Masak-masak, makan-makan, dah malam. Bila dah gelap kenalah tambah ilmu rohani sikit, jadi kerja dunia yang kena siapkan itu masih bertimbun juga.

Bila telefon rumah, mesti cakap kat mama dan abah, minta diorang doakan supaya tambah sikit kerajinan aku ni. Tapi, aku tau benda macam ni, kena datang dari dalam diri sendiri. Setakat doa ibubapa (walaupun memang doa ibu adalah yang paling mustajab), tapi diri sendiri tak mau nak berubah tak jadi juga.

Tuesday, April 03, 2007

Abah

Dulu kecik-kecik, aku takkan mandi satu hari kalau abah dah mandi sebelum aku bangun tidur. Aku nak bangun tidur punyalah susah, tapi kalau orang kata 'bangun abah nak pi mana tu?' cepat-cepat aku melompat bangun.

Kalau naik kereta, dekat nak sampai rumah hala balik, aku adik-beradik selalu cepat-cepat pejam mata, kadang-kadang terlena betul, tapi banyaknya berlakon. Sebab malas nak jalan sendiri keluar dari kereta. Nanti abah kena usung sorang-sorang masuk rumah. Kecuali kakak aku yang sulung lah kot, dia dah besar time tu.

Masa 6 tahun aku masuk taski, tak lama, dalam dua minggu berenti. Sebabnya, satu malas nak bangun tidur, bila sampai kelas lambat, orang gelakkan aku. Jadi aku pun malas. Tapi itu bukan sebab utama. Tiap kali balik tadika, masa makan abah tanya, tadi belajar apa, best tak, makan apa. Aku jawab semua. Lepas tu abah tanya, ustazah nama apa, cantik tak, dah kawin ka belum. Abah tanya saja nak bagi aku panas. Lepas tu aku tak mau tengok muka ustazah tu lagi.

Darjah satu aku malas nak buat kerja sekolah. Selalu abah kena tulis kerja sekolah aku pakai tangan kiri. Tapi aku tak pernah missed dapat nombor satu, sebab abah janji nak beli mountain bike kalau dapat. (sebenarnya dia risau kot, sebab aku dah la tak tadika, lepas tu takmau buat homework...)

Kalau aku balik sekolah muka masam, lepas tu abah buat lawak, aku akan hempas basikal dan beg sekolah, dan terus masuk bilik. Abah yang angkat beg sekolah masuk rumah, dan susun kasut aku.

Bila time nak periksa, kalau abah ada kat rumah, abah selalu bagi duit note RM 50, suruh letak dalam poket. Macam good luck charm lah. Kalau aku tak reti jawab periksa, aku seluk poket, macam ada abah dekat dengan aku.

Sampai aku masuk asrama pun, setiap kali aku nak exam, abah mesti suruh bawak duit 50 atau 100 masa exam. Good luck charm style abah.

Ada lebih sejuta perkara pasal abah aku sepanjang aku hidup ni. Hari ni hari lahir abah ke 51. Selamat hari lahir abah. Sayang yang tak terhingga.